Isnin, 13 Januari 2020 | 7:08am
Al-Balad adalah markas utama pesawat F-16 milik Iraq, yang dibeli daripada AS. - Foto Reuters
Al-Balad adalah markas utama pesawat F-16 milik Iraq, yang dibeli daripada AS. - Foto Reuters

AS kutuk serangan terbaru terhadap markas udara Iraq

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo, berang dengan satu lagi serangan peluru berpandu terhadap markas udara Iraq menempatkan tentera AS.

“Berang dengan laporan satu lagi serangan roket terhadap markas udara di Iraq, pencabulan berterusan seperti ini terhadap kedaulatan Iraq oleh kumpulan yang tidak setia kepada kerajaan Iraq harus dihentikan, katanya dalam ciapan di laman Twitter beliau.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang mana mengikut tentera Iraq, serangan membabitkan lapan peluru berpandu itu mencederakan masing-masing dua pegawai tentera Iraq dan dua juruterbang.

AS sebelum ini menuduh serangan seumpamanya dilancarkan oleh kumpulan pejuang yang disokong Iran.

Sasaran serangan, markas udara Al-Balad, menempatkan sekumpulan kecil pasukan tentera udara AS selain kontraktor negara itu tetapi kebanyakan daripada mereka sudah dipindahkan berikutan ketegangan antara AS dan Iran semakin meruncing.

Sumber tentera memberitahu AFP, Al-Balad adalah markas utama pesawat F-16 milik Iraq, yang dibeli daripada AS.

Markas tentera menempatkan tentera AS menjadi sasaran serangan roket dan mortar sejak beberapa bulan lalu, kebanyakannya mencederakan anggota tentera Iraq tetapi seorang kontraktor AS terbunuh dalam serangan bulan lalu.

Kematian beliau mencetuskan rentetan tindakan yang dramatik, menyaksikan AS melancarkan serangan terhadap kumpulan separa tentera pro Iran di Iraq selain konvoi membawa komander tertinggi Iran, Qasem Soleimani, di luar lapangan terbang the Baghdad.

Serang dron atas arahan Presiden AS, Donald Trump, membunuh Soleimani serta komander Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis, dan kumpulan pejuang pro Iran berikrar akan membalas dendam terhadap serangan itu. - AFP

Berita Harian X