Jumaat, 10 Januari 2020 | 8:51pm
Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle. - Foto REUTERS
Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle. - Foto REUTERS

Putera Harry, Meghan boleh jadikan Obama sebagai model untuk berjaya

NEW YORK: Selepas mengumumkan pengunduran daripada tugas rasmi, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle, berpeluang menjana pendapatan sendiri menerusi fesyen, ceramah atau membuka syarikat produksi.

Ketua Pengarang True Royalty TV, Nick Bullen, berkata pasangan dikenali dengan rasmi sebagai Duke dan Duchess of Sussex itu perlu bijak dalam dunia yang dipengaruhi media sosial seperti Kim Kardashian, di mana pasangan itu akan menjadi tumpuan ramai.

“Sussex adalah jenama global dan mereka boleh menjana kewangan yang banyak, hasil daripada ceramah awam sehingga membuka semula blog gaya hidup Meghan, barangan serta jenama sokongan,” katanya.

Putera Harry dan Meghan sebelum ini membuat pengumuman mengejutkan terutama kepada Ratu Elizabeth, apabila pasangan itu mahu hidup bebas termasuk dari segi kewangan.

Latar belakang Meghan yang sebelum ini terbabit dalam dunia lakonan terutama siri televisyen Amerika Syarikat (AS), Suits, membuka ruang spekulasi kemungkinan beliau akan menceburi semula bidang berkenaan.

Putera Harry pula sebelum ini bekerjasama dengan Oprah Winfrey dalam penghasilan dokumentari berkaitan kesihatan mental menerusi perkhidmatan dalam talian Apple.

Veteran Hollywood dan pakar strategi perhubungan awam, Howard Bragman, berkata pasangan Obama boleh dijadikan model bagaimana untuk menjana duit dalam kelas tersendiri.

“Putera Harry dan Meghan boleh mencari projek yang mana Meghan boleh terbabit secara langsung. Jika ia adalah dokumentari, Putera Harry boleh memberi suara latar,” kata veteran Hollywood dan pakar strategi perhubungan awam, Howard Bragman.

Bragman berkata, pasangan itu perlu bijak mengenai pilihan mereka kerana tahap penelitian yang dilakukan akan keterlaluan dan tidak semestinya adil. - REUTERS

Berita Harian X