Rabu, 8 Januari 2020 | 7:55am
SETIAUSAHA Pertahanan AS, Mark Esper. - Foto Reuters

AS jangka Iran akan menyerang balas - Esper

WASHINGTON: Amerika Syarikat harus bersedia menghadapi tindak balas Iran berikutan pembunuhan komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Qasem Soleimani.

Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper, berkata AS perlu berjaga-jaga berikutan kenyataan ketua IRGC, Jeneral Hossein Salami, yang mengisytiharkan Iran akan membalas dendam terhadap pembunuhan Soleimani.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai hasil risikan yang atau tanda-tanda ditunjukkan tentera Iran yang menjurus kepada kesimpulan itu.

Reuters sebelum ini melaporkan bahawa pasukan peluru berpandu Iran kini dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Esper, dalam taklimat media di Pentagon, berkata AS perlu bersedia kerana Iran dijangka akan bertindak balas dalam apa juga cara, yang mungkin dilancar secara terus atau menggunakan proksi.

“Namun, kita sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan akan melakukan apa yang perlu bagi membalas tindakan mereka (Iran),” katanya.

Pegawai AS memberitahu, pembunuhan Soleimani ketika beliau berada di Iraq Jumaat lalu adalah berdasarkan maklumat risikan mengatakan pasukan tentera di bawah pimpinannya sedang merancang serangan terhadap sasaran AS di rantau itu tetapi tiada bukti dikemukakan.

Kawasan pesisiran pantai Iran yang menyusuri laluan kapal minyak di kawasan Teluk termasuk Selat Hormuz, mempunyai sekutu merentasi Asia Barat dan boleh menggunakan mereka untuk melancarkan serangan.

Antaranya, wakil kumpulan seperti Hamas dari Palestin dan Hezbollah dari Lubnan, yang turut menghadiri pengebumian Soleimani di Teheran,

Tatkala ketegangan semakin memuncak, Pentagon mula memindahkan ribuan anggota tentera tambahan ke Asia Barat, termasuk dari 173rd Airborne Brigade selain kira-kira 3,500 anggota tentera dari Immediate Response Force (IRF), 82nd Airborne Division.

Esper berkata tindakan itu bertujuan untuk perlindungan dan lebih banyak tindakan akan diambil AS mengikut keperluan bagi ‘melindungi rakyat dan kepentingan AS’.

Beliau juga memberi amaran bahawa AS tidak mahu berperang dengan Iran tetapi bersedia untuk ‘mengakhirinya’ jika berlaku perang.

Ditanya sama ada wujud peluang untuk meredakan keadaan, Esper berkata Iran seharusnya memilih jalan diplomasi tanpa meletakkan sebarang syarat.

“Peluang kini terbuka kepada Teheran bagi meredakan keadaan, mereka perlu beri mesej kepada kita jika mahu duduk berunding dengan AS, tanpa pra syarat, mengenai langkah seterusnya yang lebih baik,” katanya.

Ketegangan antara Washington dan Teheran meningkat sejak Mei 2018 apabila Presiden AS, Donald Trump, pada 2015 menarik diri daripada ketetapan antarabangsa yang mengenakan sekatan tertentu terhadap program nuklear Iran.

Trump memberi alasan ketetapan yang dicapai di bawah pentadbiran Barack Obama itu tidak cukup tegas dan gagal membendung kegiatan Iran di Asia Barat.

Sementara itu, Esper berkata pihaknya tidak menerima sebarang permintaan daripada Iraq supaya menarik balik lebih 5,000 anggota tentera AS yang ditempatkan di sana. - Reuters

Berita Harian X