Jumaat, 13 Disember 2019 | 3:04pm
Misi mencari pesawat pengangkut C-130 Hercules ditumpukan di kawasan sekitar selatan perairan Amerika Selatan, yang dilaporkan hilang lewat Isnin lalu. - Foto AFP

Bahagian mayat ditemui sah milik mangsa pesawat tentera

SANTIAGO: Bahagian mayat manusia ditemui oleh kapal pencari semalam disahkan sebagai milik mangsa nahas pesawat tentera Chile yang dilaporkan hilang bersama kesemua 38 individu di dalamnya.

Ketua Tentera Udara, Arturo Merino dalam satu sidang media berkata, keadaan bangkai pesawat ketika ditemui menjelaskan bahawa adalah mustahil untuk menemui mangsa terselamat dalam tragedi itu.

Kenyataan Merino, disokong oleh Menteri Pertahanan Alberto Espina dan pegawai lain, mengesahkan laporan bahawa beberapa bahagian mayat turut dibawa keluar dari dalam laut.

“Turut ditemui bersama pesawat itu adalah bahagian mayat manusia, dipercayai milik penumpang atau individu yang menaiki pesawat C-130 itu,” katanya.

Misi mencari berkenaan ditumpukan di kawasan sekitar selatan perairan Amerika Selatan, bagi mengesan sebarang petunjuk diberikan pesawat pengangkut C-130 Hercules, sebelum dilaporkan hilang lewat Isnin lalu.

Seramai 38 orang, termasuk 21 penumpang dan 17 kru berada dalam pesawat itu yang menuju ke pangkalan Eduardo Frei, merentasi Lautan Antartik.

Sebahagian besar mangsa adalah pegawai tentera udara, namun penerbangan terbabit turut disertai tiga pegawai tentera darat, dua petugas syarikat pembinaan swasta dan seorang pegawai dari universiti di Chile.

Hampir kesemua mereka ditugaskan untuk melaksanakan tugasan sokongan logistik di pangkalan berkenaan, iaitu yang terbesar milik Chile di Antartik. - Agensi

Berita Harian X