Khamis, 12 Disember 2019 | 11:45pm
Gambar dikeluarkan Tentera Udara Chile menunjukkan serpihan tangki minyak pesawat C-130 Hercules yang dipercayai terhempas bersama 38 penumpang di dalamnya. -Foto AFP
Saudara mara penumpang pesawat kargo Tentera Udara Chile yang hilang ketika dalam perjalanan ke Antartika tiba di pangkalan tentera di Punta Arenas, Chile, semalam. -Foto AFP

Chile sahkan temui bangkai pesawat hilang

PUNTA ARENAS: Chile hari ini mengesahkan serpihan terapung ditemui kapal pencarian adalah daripada pesawat tentera yang dilaporkan hilang bersama 38 orang di dalamnya dan peluang menemui mangsa terselamat ‘agak mustahil.’

“Keadaan bangkai pesawat yang ditemui menjadikannya agak mustahil ada mangsa terselamat daripada nahas udara ini,” kata Ketua Tentera Udara Arturo Merino dalam sidang media di bandar pelabuhan selatan di sini.

Terdahulu, penyelamat menemui cebisan mayat manusia ketika pencarian pesawat tentera udara Chile yang hilang dalam perjalanan ke Antartika, kata seorang pemimpin kerajaan wilayah semalam.

Pasukan mencari meneliti perairan di luar pinggir selatan Amerika Selatan untuk sebarang petunjuk pesawat pengangkut C-130 Hercules, yang hilang lewat Isnin lalu.

Gabenor rantau Magallanes di selatan Chile, Jose Fernandez berkata, tentera udara mengesahkan penemuan serpihan bangkai pesawat dan mayat dengan beliau.

“Mereka memaklumkan kami menemui serpihan lain pesawat serta mayat dari mangsa di dalamnya,” kata Fernandez kepada media di sini di mana ramai anggota keluarga mangsa menunggu usaha menyelamat. -AFP

Berita Harian X