Khamis, 12 Disember 2019 | 8:35am
Gambar fail, jenis pesawat kargo yang sama dengan pesawat kargo C-130 Hercules Tentera Udara Chile yang hilang di laut dengan 38 orang di atas kapal. - Foto AFP

Serpihan dipercayai milik pesawat tentera Chile ditemui

PUNTA ARENAS: Pasukan penyelamat yang mencari pesawat tentera udara Chile yang hilang menemui serpihan terapung dipercayai tangki minyak kapal terbang C-130 itu, kata tentera semalam.

Antarctic Endeavour yang membawa bendera Chile mengesan serpihan yang berkemungkinan sisa tangki minyak dalaman,” kata Komander Tentera Udara, Eduardo Mosqueira, pada sidang akhbar.

Bangkai pesawat itu dikesan 30 kilometer dari kedudukan akhir pesawat itu ketika hilang daripada skrin radar pada jam 6.13 pagi waktu tempatan Isnin lalu.

Pesawat kargo Hercules C-130 itu dalam penerbangan ke pangkalan Eduardo Frei, kata pegawai.

“Kami akan memeriksa dan apabila mendapat serpihan itu, kami akan memastikan sama ada ia daripada C-130,” kata Mosquiera di Punta Arenas, lokasi pesawat itu berlepas.

Beliau berkata, serpihan bangkai yang ditemui dijangka tiba di Punta Arenas hari atau beberapa hari lagi.

Kapal dan pesawat peninjau dari Amerika Syarikat, Brazil, Uruguay, Argentina dan Chile bersama-sama mencari di kawasan hampir seluas 1,000 kilometer persegi sekitar kedudukan terakhir kapal terbang berkenaan di Drake Passage, wilayah arus kuat di selatan Cape Horn dan utara Antartika.

Mosquiera berkata, keputusan dibuat untuk meluaskan zon pencarian kerana jarak penglihatan dan keadaan mengizinkan. — AFP

Berita Harian X