Rabu, 11 Disember 2019 | 4:37pm
PESAWAT yang digunakan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat tentera yang dipercayai terhempas ketika menuju ke pangkalan di Antartika. - Foto AFP

Pesawat tentera dilapor hilang dipercayai terhempas

SANTIAGO (CHILE): Sebuah pesawat tentera membawa 38 orang dilaporkan hilang dan dipercayai terhempas selepas meninggalkan selatan negara itu untuk menuju ke pangkalan di Antartika.

“Kesemua 17 individu itu terdiri daripada krew pesawat C-13 dan penumpang.

“Pesawat terbabit dipercayai terhempas dan operasi menyelamat sudah digerakkan di semua pihak, termasuk di peringkat antarabangsa membabitkan pasukan udara dan maritim,” kata Tentera Udara Chile dalam satu kenyataan.

Pesawat berenjin empat itu berlepas dari pangkalan udara Punta Arenas di selatan Chile pada jam 4.55 petang (waktu tempatan), Isnin lalu dan terputus hubungan pada jam 6.13 petang.

Dalam kenyataan awal pagi semalam, pasukan tentera udara Chile berkata, pesawat terbabit terputus hubungan selama lebih tujuh jam dan mungkin kehabisan minyak sekitar jam 12.40 pagi (waktu tempatan).

Komander Briged Keempat di Punta Arenas, Eduardo Musqueira berkata, juruterbang pesawat mungkin membuat pendaratan cemas di tengah laut.

“Kesemua bantuan udara dan maritim yang berada dalam radius berhampiran sudah diminta meneruskan operasi mengesan mangsa.

“Operasi mencari dilakukan di di kawasan pesawat berkenaan disahkan terputus hubungan,” katanya.

Operasi mencari turut disertai pasukan dari Uruguay, Argentina dan Chile.

Susulan kejadian, Presiden Chile, Sebastian Pinera membatalkan lawatan ke Buenos Aires semalam untuk pelantikan presiden baru Argentina, Alberto Fernandez bagi memantau misi berkenaan dari Santiago. - Agensi

Berita Harian X