Rabu, 11 Disember 2019 | 11:00am
Ketua tentera, Min Aung Hlaing. - Foto fail AFP
Ketua tentera, Min Aung Hlaing. - Foto fail AFP

AS perketat sekatan terhadap ketua tentera Myanmar

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengetatkan sekatan ke atas ketua tentera Myanmar berhubung pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya, ketika negara itu terpaksa mempertahankan diri terhadap tuduhan itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Julai lalu, AS melarang ketua tentera, Min Aung Hlaing, daripada masuk ke negara itu tetapi semalam langkah itu dilanjutkan kepada pembekuan sebarang aset di AS dan transaksi kewangan oleh sesiapa sahaja di AS dengan beliau dianggap jenayah.

Jabatan Perbendaharaan mengenakan tindakan sama ke atas tiga pegawai kanan Myanmar, selain 14 individu negara lain, sebagai mematuhi Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

“AS tidak bertolak ansur dengan penderaan, penculikan, keganasan seksual, pembunuhan atau kekejaman ke atas penduduk awam tidak bersalah.

“AS menjadi peneraju dunia dalam memerangi pencabulan hak asasi manusia dan memastikan penjahat bertanggungjawab di mana sahaja mereka beroperasi,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, dalam kenyataan.

Tentera Myanmar dituduh mengetuai kempen zalim pada 2017 di Rakhine terhadap penduduk Islam Rohingya, minoriti yang tidak dianggap rakyat oleh Myanmar.

AS berkata, ada laporan kukuh mengenai rogol berskala besar dan keganasan seksual lain dilakukan anggota tentera di bawah arahan Min Aung Hlaing.

Tindakan AS itu dibuat ketika Myanmar mempertahankan diri di ICJ di The Hague berhubung tuduhan ia melanggar konvensyen pembunuhan beramai-ramai 1948. — AFP

Berita Harian X