Sabtu, 23 November 2019 | 1:25pm

Rusuhan di Chile mengorbankan 23 orang

SANTIAGO: Jumlah kematian akibat keganasan di Chile meningkat sehingga 23 orang ketika rusuhan sosial di negara itu memasuki minggu ke lima.

Serbuan dan demonstrasi berlaku di beberapa bandar di seluruh negara Amerika Selatan itu dan persetujuan pelan tindakan politik yang bakal menyaksikan Chile menggubal perlembagaan baharu tidak meredakan kemarahan mahupun pertumpahan darah.

Rakyat Chile yang marah sejak 18 Oktober lalu membantah ketidakadilan sosial dan ekonomi, serta menentang kumpulan elit politik yang berasal daripada sebilangan kecil keluarga terkaya di negara itu.

Krisis yang berlaku di negara itu adalah yang terburuk berlaku dalam tempoh tiga dekad demokrasi di Chile dan menyebabkan 2,000 cedera, termasuk 280 orang yang mengalami kerosakan mata akibat pelet senapang patah.

Pegawai kementerian dalam negeri berkata, kematian terbaru membabitkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dilanggar van ketika bantahan berlaku di Arica, kira-kira 2,100 kilometer) di utara ibu negara Santiago.

Ribuan penduduk kembali berhimpun pada Jumaat lalu di Plaza Italia, pusat tunjuk perasaan di Santiago dan tunjuk perasaan mingguan yang diadakan menyaksikan peningkatan jumlah peserta sejak pergolakan sosial tercetus. - AFP

Berita Harian X