Sabtu, 16 November 2019 | 8:38am
UNSC lulus resolusi larangan jual bahan peledak kepada Somalia. Foto hiasan
UNSC lulus resolusi larangan jual bahan peledak kepada Somalia. Foto hiasan

UNSC lulus resolusi larangan jual bahan peledak

NEW YORK (PBB): Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meningkatkan sekatan terhadap Somalia, apabila melarang penjualan, membekal dan pemindahan bahan peledak yang sering digunakan oleh militan Al-Shabaab.

Mengikut resolusi yang dirangka oleh Britain itu, beberapa bahan kimia turut terbabit dalam larangan berkenaan, susulan peningkatan serangan bom buatan sendiri oleh kumpulan yang dikaitkan dengan militan Daesh terbabit.

Ia susulan cadangan yang dikemukakan oleh pasukan pakar PBB pada bulan lalu, bahawa sekatan perlu dilaksanakan bagi menyekat bekalan bahan kimia terbabit.

Militan Al-Shabaab didakwa menggunakan bahan itu bagi menghasilkan bahan letupan buatan sendiri (IEDS), sekurang-kurangnya sejak Julai 2017.

Resolusi berkenaan diluluskan anggota UNSC dengan 12 undi memihak, manakala tiga lagi undi berkecuali.

Keputusan itu, sekali gus memperbaharui sebahagian sekatan senjata ke atas pasukan keselamatan Somalia, yang ditarik balik sehingga Disember 2020.

Al-Shabaab melancarkan pemberontakan terhadap Kerajaan Somalia selama lebih satu dekad, dan mengaku bertanggungjawab menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat, yang terletak kira-kira 110 kilometer di barat laut Mogadishu pada September lalu. - AFP

Berita Harian X