Jumaat, 8 November 2019 | 11:41am

Lelaki gantung diri selepas penggal kepala isteri, kelar leher anak

NEW YORK: Seorang lelaki bertindak menggantung diri setelah memenggal kepala isteri dan menggelar leher anak perempuan mereka yang berusia lima tahun, lewat Rabu lalu, beberapa jam selepas wanita terbabit cuba mendapatkan perintah perlindungan.

Menurut Jabatan Polis New York (NYPD), polis yang menerima panggilan 911 pada jam 9.18 malam (waktu tempatan) memeriksa sebuah pangsapuri di 151 West 121st Street di Harlem, Manhattan.

“Sebaik memasuki unit pangsapuri itu, mereka menemui mayat Yonathan Tedla, 46, Jennifer Schlecht, 42 dan anak mereka yang berusia lima tahun, Abaynesh Schlecht Tedla.

Bapa Schlecht, Kenneth Schlecht, 74 ketika bercakap kepada media memberitahu, perkahwinan anaknya berada di ambang kemusnahan dan Yonathan pernah mengugut akan ‘menghabiskan nyawa mereka’ jika wanita itu meneruskan hasrat untuk bercerai.

Menurut laporan saluran berita Spectrum News NY1, jiran sekeliling menyifatkan keluarga itu sebagai sempurna dan bahagia.

Mayat Yonathan ditemui di dalam bilik tidur, manakala mayat isteri dan anaknya masing-masing ditemui di bilik mandi serta bilik berlainan, bersama kecederaan parah di bahagian leher.

Akhbar New York Daily News, memetik kenyataan sumber pula melaporkan, Schlecht ditemui dalam keadaan kepalanya sudah dipenggal.

Abaynesh pula mengalami luka parah di bahagian leher dan kepalanya hampir terputus selepas dikelar.

Polis turut merampas sebilah pisau, dipercayai digunakan Yonathan untuk membunuh kedua-dua mangsa. - Agensi

Berita Harian X