Khamis, 7 November 2019 | 10:00am
AKTOR legenda, mendiang James Dean hidup semula dan bakal beraksi dalam filem terbaharu. - Foto Reuters

James Dean kembali ke layar perak

LOS ANGELES: Aktor legenda, mendiang James Dean hidup semula dan bakal beraksi dalam filem terbaharu, kata sebuah produksi Hollywood semalam, sekali gus menimbulkan kegemparan susulan idea ‘menghidupkan kembali’ ikon perfileman kesayangan ramai itu.

Magic City Films berkata, mereka berjaya memperoleh kebenaran dari pemegang hak cipta Dean untuk ‘menghidupkan’ semula secara digital bintang ‘Rebel Without A Cause’ yang maut dalam nahas kereta pada 1955 itu, bagi membintangi filem era Perang Vietnam, ‘Finding Jack’.

Dean akan dihidupkan semula menerusi gabungan foto lama dan rakaman imej, bersama visual dihasilkan oleh komputer ke atas pelakon lain, manakala seorang pelakon berbeza pula akan meminjamkan suaranya bagi menjayakan watak dipegang Dean.

“Kami amat berbesar hati kerana pembikinan filem ini menerima sokongan keluarga mendiang, dan akan melaksanakan semua langkah diperlukan bagi memastikan legasi beliau sebagai antara bintang filem paling epik kekal selamanya.

“Keluarga mendiang menganggap karya ini sebagai filem keempat beliau yang tidak sempat dibintanginya. Kami tidak mahu mengecewakan semua peminat Dean,” kata penerbit Anton Ernst menerusi satu kenyataan.

Projek berkenaan bagaimanapun menimbulkan ketakutan di kalangan peminat.

Portal Esquire.com menyenaraikan 35 aktor yang boleh menggantikan James Dean dalam filem berkenaan manakala laman web Vice.com pula membuat rayuan ‘Tolong jangan lakukan perkara ini’.

“Ini adalah antara perkara paling buruk pernah terjadi,” kata editor Lindsey Romain menerusi Twitter.

OMG Worldwide, pengeluar lesen intelektual untuk selebriti yang sudah meninggal dunia termasuk Dean, pemuzik Chuck Berry dan angkasawan Neil Armstrong berkata, projek berkenaan akan membuka peluang baharu.

“Dengan teknologi yang semakin membangun, kami melihat projek ini sebagai garisan pemula untuk lebih ramai klien ikonik,” kata syarikat terbabit dalam satu kenyataan.

‘Finding Jack’ bagaimanapun bukan filem pertama menampilkan aktor yang sudah meninggal dunia.

Aktor Peter Gushing yang meninggal dunia pada 1994 dihidupkan semula sebagai komander Grand Moff Tarkin untuk filem ‘Rogue One: A Star Wars Story’ pada 2016, menggunakan imej dihasilkan komputer. - Reuters

Berita Harian X