Selasa, 5 November 2019 | 4:14pm
Kenderaan yang dibakar penjenayah. - Foto Reuters

9 dibunuh kejam di Mexico

MEXICO: Sekurang-kurangnya tiga wanita dan enam kanak-kanak dari masyarakat Mormon Amerika yang tinggal di utara Mexico dibunuh kejam dalam satu insiden serangan hendap di sini.

Saudara mangsa, Julian Lebaron berkata, sepupunya dalam perjalanan ke lapangan terbang semasa dia diserang dan ditembak dalam kereta bersama empat anaknya di Rancho de la Mora, kawasan terkenal dengan pengedaran aktiviti dadah dan kegiatan samun.

“Ia adalah pembunuhan beramai-ramai,” katanya yang juga seorang aktivis sambil mengecam kumpulan penjenayah di kawasan terbabit.

Lebaron berkata, sepupunya antara yang berada dalam kenderaan dibakar bersama mangsa lain.

Sementara itu, dua kenderaan lain dijumpai beberapa jam kemudian, mengandungi mayat dua wanita dan dua kanak-kanak.

Lebaron menambah, sekurang-kurangnya lima kanak-kanak lain termasuk salah seorang daripadanya yang cedera selepas ditembak dan berjaya melarikan diri pulang ke rumah selain seorang lagi dilaporkan masih hilang selepas lari ke hutan untuk bersembunyi.

Peguam Negara Chihuahua, Cesar Augusto Peniche, berkata jumlah mangsa belum dapat dipastikan.

Serangan berlaku di sempadan antara negeri Chihuahua dan Sonora yang berhampiran dengan sempadan Amerika Syarikat (AS). - AFP

Berita Harian X