Selasa, 29 Oktober 2019 | 10:32am

'Maleficent' tumpaskan 'Joker' di pawagam Amerika Utara

LOS ANGELES: Cerita dongeng terbitan Disney, ‘Maleficent: Mistress of Evil’, mengatasi ‘Joker’ dalam pertarungan watak jahat hujung minggu lalu, mengutip AS$19.4 juta (RM81 juta) di pawagam Amerika Utara, kata pemerhati industri, Exhibitor Relations, semalam.

Filem itu, sekuel kepada filem 2014 dibintangi Angelina Jolie sebagai ahli sihir jahat masyhur dalam kisah ‘Sleeping Beauty’.

Kali ini, pelakon Michelle Pfeiffer turut menyertai senarai pelakon sebagai Ratu Ingrith.

Bagi minggu kedua berturut-turut, ‘Joker’ terbitan Warner Bros, yang dibintangi Joaquin Phoenix, memperoleh AS$19.2 juta (RM80 juta) bagi tempoh Jumaat hingga Ahad untuk berada di tempat kedua dengan sedikit perbezaan.

Filem itu sudah mengutip AS$850 juta (RM3.5 bilion) di seluruh dunia, untuk menjadi filem berstatus R paling berjaya dalam sejarah, menurut majalah Variety.

Sementara di tempat ketiga adalah ‘The Addams Family’ yang memperoleh kutipan AS$12 juta (RM50 juta).

Filem animasi komputer mengisahkan keluarga Addams dan anggota keluarga menakutkan itu menggunakan suara seperti Oscar Isaac, Charlize Theron, Snoop Dogg dan Bette Midler. — AFP

Berita Harian X