Selasa, 29 Oktober 2019 | 7:54am
MARK Esper (kiri) dan Mark Milley ketika sidang media. - Foto AFP
MARK Esper (kiri) dan Mark Milley ketika sidang media. - Foto AFP

Mayat al-Baghdadi dikebumi di laut

WASHINGTON: Mayat pemimpin pergerakan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi, dikebumikan di laut ketika maklumat baru muncul mengenai operasi pasukan khas Amerika Syarikat yang membawa kepada kematiannya hujung minggu lalu.

Pemberontak Kurdis Syria mendakwa menjadi sumber utama perisikan yang membawa tentera AS kepada Baghdadi selepas bertahun-tahun mengesan dalang di sebalik keganasan di Iraq dan Syria.

Tentera AS meraikan kejayaan semalam selepas membunuh pengasas dan pemimpin rohani Daesh, menutup kempen selama beberapa tahun untuk memusnahkan Daesh yang pada satu ketika mewujudkan pemerintahan khalifah.

“Kematiannya memberikan tamparan amat hebat kepada saki-baki Daesh,” kata Setiausaha Pertahanan, Mark Esper.

Beliau memuji pasukan mengandungi ratusan anggota yang memantau kawasan pedalaman di Idlib dalam misi sukar yang memerlukan kerjasama Russia, Kurdis, Turki dan rejim Presiden Bashar al-Assad untuk menghalang pesawat AS ditembak.

“Mereka melancarkan serbuan dengan cemerlang dalam semua aspek,” kata Esper.

Pengerusi Ketua Turus Staf, Jeneral Mark Milley, berkata tiada siapa cedera dalam operasi itu, walaupun tentera AS ditembak ketika tiba di lokasi.

Dua lelaki ditahan, dan mayat Baghdadi dipindahkan selepas dia membunuh diri.

“Mayat Baghdadi dipindahkan ke kemudahan selamat untuk mengesahkan identitinya dengan ujian forensik DNA.

“Pengebumian sudah dijalankan, sempurna dan dikendalikan dengan sewajarnya,” kata Milley, menambah urusan dibuat selari dengan undang-undang konflik bersenjata.

Seorang lagi pegawai Pentagon mengesahkan mayat Baghdadi dikebumikan di laut di lokasi rahsia, seperti yang dilakukan kepada mayat Osama bin Laden pada 2011, selepas pemimpin al-Qaeda itu terbunuh dalam serbuan tentera AS di Pakistan. - AFP

Berita Harian X