Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:03am

FBI minta bantuan orang ramai kenali mangsa pembunuh bersiri

LOS ANGELES: Biro Siasatan Persekutuan meminta bantuan orang ramai mengenal pasti puluhan mangsa pembunuhan seorang lelaki yang mengaku membunuh 93 orang.

Agensi berkenaan berkata, dakwaan itu kukuh dan menjadi lelaki berkenaan sebagai pembunuh bersiri paling prolifik dalam sejarah Amerika Syarikat.

Penyiasat yang menyoal siasat Samuel Little di penjara di Los Angeles mengesahkan 50 kes bunuh yang diakui dilakukannya antara 1970 dan 2005 dan menyiarkan rakaman pengakuannya ketika mereka menyiasat kes bunuh lain.

“Walaupun dia sudah dipenjarakan, FBI percaya penting untuk mendapatkan keadilan untuk semua mangsa, untuk menutup kes ini,” kata FBI dalam kenyataan yang disiarkan di laman webnya, juga memasukkan lukisan ramai wanita yang dibunuh, dilukis Little sendiri.

Little, 70, yang menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan bersalah dalam tiga kes bunuh pada 1980-an, mula mengaku melakukan pembunuhan lain 18 bulan lalu kepada Renjer Texas yang menemubualnya di penjara di Lancaster, California, kata FBI.

Beliau mensasarkan wanita kulit hitam muda, kebanyakannya pelacur atau penagih dadah, yang kematian mereka tidak diberi publisiti meluas ketika itu, dan dalam sebahagian kes tidak direkodkan sebagai pembunuhan.

FBI juga menyiarkan lakaran dibuat Little mengenai mangsa yang masih belum dikenal pasti dengan harapan orang ramai mungkin mengenali mereka.

Agensi itu memaklumkan, tidak semua gambaran diberikan Little tepat kerana ingatannya yang semakin merosot. —Reuters

Berita Harian X