Selasa, 8 Oktober 2019 | 1:23pm

'Joker' catat rekod raih kutipan terbanyak di Amerika Utara

LOS ANGELES: Filem terbaharu Warner Bros, ‘Joker’, terselamat daripada kontroversi berhubung tema ganas dengan memperoleh kutipan AS$96.2 juta (RM403 juta) tayangan di Amerika Utara hujung minggu lalu.

Ia sekali gus mencipta rekod untuk tayangan pada Oktober, kata pemerhati industri, Exhibitor Relations, semalam.

Dibintangi Joaquin Phoenix, ‘Joker’ menceritakan latar belakang kepada kemunculan musuh ketat Batman, melakarkan gambaran gelap dan mengganggu waris pelawak spontan yang menjadi gila.

Di tengah kebimbangan ia mungkin mengapi-apikan keganasan, seperti kes tembakan pada tayangan filem ‘The Dark Knight Rises’ di Aurora pada 2012 yang meragut 12 nyawa, beberapa pawagam menyediakan kawalan keselamatan tambahan bagi pembukaan ‘Joker’.

Filem arahan Todd Phillips, mendapat reaksi berbeza daripaa pengkritik.

Akhbar Washington Post menyifatkan ia ‘suram, cetek dan ditiru’ manakala majalah Empire menilai pemenang hadiah utama festival filem Venice itu sebagai ‘berani, dahsyat dan indah’.

Sementara filem ‘Abominable’ jauh di tempat kedua dengan kutipan pecah panggung AS$11.9 juta (RM50 juta) pada hujung minggu kedua. — AFP

Berita Harian X