Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:26am
PERSATUAN Juruterbang Southwest Airlines (SWAPA) memfailkan saman ke atas Boeing Co, mendakwa penggantungan pesawat 737 MAX menyebabkan mereka kerugian gaji lebih AS$100 juta (RM419 juta). - Foto Reuters

Persatuan Juruterbang Southwest Airlines saman Boeing

CHICAGO: Persatuan Juruterbang Southwest Airlines (SWAPA) hari ini memfailkan saman ke atas Boeing Co, mendakwa penggantungan pesawat 737 MAX menyebabkan mereka kerugian gaji lebih AS$100 juta (RM419 juta).

Southwest Airlines adalah pengendali terbesar MAX. Ia memiliki 34 pesawat ketika berdepan penggantungan di seluruh dunia Mac lalu susulan dua nahas maut yang mengorbankan 346 orang.

Tahun ini saja, syarikat penerbangan tambang murah itu sudah menempah 41 lagi pesawat, namun terpaksa dibekukan mengakibatkan lebih 100 penerbangan harian dibatalkan sekali gus mengurangkan masa penerbangan juruterbang.

SWAPA dalam satu kenyataan berkata, tuntutan mahkamah itu mendakwa juruterbangnya bersetuju untuk menerbangkan 737 MAX jet berdasarkan penjelasan Boeing bahawa ia adalah sama dengan model 737 sebelumnya yang pernah dikendalikan selama bertahun-tahun.

“Penjelasan ini adalah palsu,” kata SWAPA.

Jurucakap Boeing, Chaz Bickers berkata, walaupun pihaknya cukup menghargai hubungan baik dengan SWAPA selama ini, mereka percaya bahawa tuntutan itu tidak sesuai dan akan terus mempertahankannya.

Boeing terus berdepan tekanan untuk menyediakan perisian dan latihan yang dikemaskini kepada pengawal selia bagi membolehkan pesawat itu terbang kembali.

Ia juga sedang merundingkan pampasan dengan pelanggan seperti Southwest yang terjejas dari segi kewangan akibat penggantungan itu. - Reuters

Berita Harian X