Jumaat, 4 Oktober 2019 | 7:36am
Seorang peminat berpakaian Joker menghadiri pameran New York Comic Con 2019 di Bandar New York. - Foto REUTERS
Seorang peminat berpakaian Joker menghadiri pameran New York Comic Con 2019 di Bandar New York. - Foto REUTERS
Sebuah bas pelancongan melintasi papan iklan filem terbaharu 'Joker' pada 3 Oktober 2019 di West Hollywood, California. - Foto AFP
Sebuah bas pelancongan melintasi papan iklan filem terbaharu 'Joker' pada 3 Oktober 2019 di West Hollywood, California. - Foto AFP

Polis AS tingkat kawalan menjelang tayangan 'Joker'

LOS ANGELES: Polis di beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS) memperketatkan kawalan keselamatan mulai hari ini menjelang pembukaan filem ‘Joker’ yang dikhuatiri mencetus keganasan.

Filem yang memetik kisah karakter jahat yang juga musuh ketat Batman, lakonan aktor Joaquin Phoenix itu disifatkan pengkritik filem sebagai mengagumkan dan menggerunkan dalam masa yang sama.

‘Joker’ mengisahkan bagaimana seorang remaja yang teruk dibuli berubah menjadi individu ganas dan mula meraih kemasyhuran kerana kekejamannya itu.

Karakter terbitan DC Comics itu juga pernah dikaitkan dengan kejadian tembakan rambang di sebuah panggung wayang di Aurora, Colorado pada 2012 ketika tayangan filem Batman ‘The Dark Knight’.

Difahamkan, keluarga sebahagian mangsa kejadian itu membangkitkan kebimbangan mengenai edisi terbaru filem terbabit menyebabkan ia tidak akan ditayangkan di Aurora.

Festival Filem New York turut merasai kesannya apabila pasukan keselamatan lengkap dengan topi keledar dan senjata berkawal di luar panggung yang bakal menayangkan filem berkenaan.

Polis New York, Los Angeles dan Chicago dalam satu kenyataan berkata, setakat ini tiada sebarang ancaman diterima namun mereka tetap mengerahkan pasukan keselamatan tambahan untuk memantau perjalanan tayangan.

Menurut penganalisis filem walau diselubungi kontroversi, filem itu dijangka meraih AS$80 juta (RM335 juta) kutipan atau lebih sempena tayangannya hujung minggu ini di Amerika Utara. - Reuters

Berita Harian X