Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:00am
Pengawal pantai menyelamatkan tiga lelaki yang berpaut pada bongkah kokain, selepas kapal dinaiki karam di Tumaco, Colombia. Foto AFP
Pengawal pantai menyelamatkan tiga lelaki yang berpaut pada bongkah kokain, selepas kapal dinaiki karam di Tumaco, Colombia. Foto AFP

Tiga penyeludup dadah selamat selepas kapal karam

BOGOTA: Tiga disyaki penyeludup dadah dilaporkan selamat selepas terapung selama berjam-jam di perairan Pasifik yang dipenuhi ikan jerung, selepas berpaut pada bongkah kokain.

Jurucakap Pasukan Petugas Penyeludupan Dadah Colombia, Kapten Jorge Maldonado memberitahu AFP, tiga rakyat Colombia itu dipercayai menyeludup 1.2 tan kokain dari Tumaco, Colombia, apabila kapal milik mereka karam akibat dilanda ombak.

Katanya, ketika diselamatkan oleh kapal pengawal pantai Colombia di kawasan terletak 30 batu nautika dari Tumaco, mereka disyaki sudah berada kira-kira lapan jam di dalam laut.

“Ketika pengawal pantai tiba, mereka melihat ketiga-tiga lelaki itu sedang terapung sambil berpaut pada bongkah dipercayai dadah,” kata Moldonado.

Kesemua lelaki itu di bawa ke pantai bersama bongkah terapung itu, yang kemudiannya disahkan sebagai kokain hidroklorida.

“Kesemua lelaki itu berada dalam keadaan sihat dan bakal berdepan tuduhan menyeludup dadah.

“Pada masa sama, usaha mencari seorang lagi lelaki sedang dijalankan, selepas dimaklumkan oleh rakannya.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan ke Amerika Tengah,” kata Moldonado.

Sementara itu, pelabuhan Tumaco adalah laluan keluar utama dadah dari Colombia ke Amerika Tengah dan Amerika Syarikat. - AFP

Berita Harian X