Jumaat, 27 September 2019 | 8:07am
DONALD Trump

AS mahu India segera longgarkan sekatan di Kashmir

NEW YORK: Amerika Syarikat mahu New Delhi segera melonggarkan sekatan di Kashmir, kata pegawai kanan AS semalam selepas Presiden Donald Trump bertemu kedua-dua pemimpin India dan Pakistan.

“Kami berharap dapat melihat tindakan segera, menarik balik sekatan dan membebaskan mereka yang ditahan,” kata pegawai kanan Jabatan Negara AS bagi Asia Selatan, Alice Wells, kepada wartawan.

Beliau juga berkata, Trump sedia menjadi orang tengah jika diminta kedua-dua pihak, walaupun menyedari India menolak sebarang campur tangan luar.

“AS bimbang dengan penahanan meluas, termasuk ahli politik dan pemimpin perniagaan, dan sekatan ke atas penduduk Jammu dan Kashmir.

“Kami tidak sabar untuk melihat kerajaan India menyambung semula pembabitan politik dengan pemimpin tempatan dan menjadualkan pilihan raya seperti dijanjikan pada masa terdekat,” katanya.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, Ogos lalu menarik semula status autonomi Jammu dan Kashmir, satu-satunya negeri majoriti Islam di India, memenuhi matlamat utama pergerakan nasionalis Hindu pimpinannya.

Pihak berkuasa India menahan ramai pemimpin politik dan menyekat telefon bimbit dan perkhidmatan internet bagi orang biasa di wilayah Himalaya itu.

Wells berkata, AS menimbulkan kebimbangan mengenai Kashmir pada paras tertinggi tanpa menyebut sama ada Trump membangkitkan isu Kashmir dalam pertemuan dengan Modi. — AFP

Berita Harian X