Selasa, 24 September 2019 | 8:03am

Pegawai polis digantung tugas tangkap budak 6 tahun

MIAMI: Pegawai polis Florida digantung tugas dan disiasat selepas menangkap dua budak berusia enam tahun bagi dua masalah disiplin di sekolah mereka, kata polis dan pendakwa raya semalam.

Dennis Turner menangkap kanak-kanak berkenaan Khamis lalu ketika bertugas sebagai pegawai sumber di sekolah di Orlando, mendakwa mereka dengan kesalahan kecil, kata Peguam Negeri Florida, Aramis Ayala.

Ayala berkata, Ketua Polis Orlando, Orlando Rolon, memberitahunya beliau tidak berhasrat mendakwa kanak-kanak berkenaan dan meminta dakwaan digugurkan.

Katanya, beliau meneliti untuk membuang rekod penangkapan daripada rekod kedua-dua kanak-kanak itu.

“Kanak-kanak yang masih amat muda ini perlu dilindungi, diasuh dan didisiplinkan dalam bentuk yang tidak bergantung kepada sistem keadilan jenayah untuk melakukannya.

“Sistem bukan untuk membesarkan anak kita,” kata Ayala.

Nenek kepada salah seorang budak perempuan berusia enam tahun itu memberitahu stesen televisyen WKMG, beliau marah apabila mendengar cucunya ditangkap.

“Budak berusia enam tahun tidak sepatutnya memberitahu orang lain mereka pernah digari,” kata Meralyn Kirkland.

Seorang lagi ialah budak lelaki tetapi tiada butiran lanjut diperoleh mengenainya. — Reuters

Berita Harian X