Sabtu, 14 September 2019 | 8:02pm
Rangka William Moldt ditemui di Tasik Florida menerusi Google Earth.

Google Earth kesan rangka manusia berusia lebih 20 tahun

FLORIDA: Rangka manusia ditemui di Tasik Florida bulan lalu disahkan sebagai William Moldt yang hilang lebih 20 tahun lalu.

Rangka milik mendiang yang berusia 40 tahun itu ditemui tenggelam bersama kenderaan di dalam tasik di Wellington, berhampiran Palm Beach.

Ia ditemui dengan kaedah yang amat luar biasa, iaitu menerusi imej dikesan Google Earth, ketika itu sedang digunakan pengurus projek pembangunan perumahan The Grand Isles yang kemudian terus menghubungi pihak polis

Menurut pejabat Sherif Palm Beach, Moldt dilaporkan hilang pada November 1997 namun kes berkenaan senyap begitu sahaja.

Mayatnya ditemui masih terperangkap di dalam kereta yang tenggelam di dalam tasik berhampiran projek perumahan itu.

Ketika Moldt dilaporkan hilang, kawasan perumahan The Grand Isles masih dalam pembinaan.

Polis berkata, kenderaan itu diselaputi kesan garam dan berlumut yang menunjukkan ia sudah ditenggelami air sekian lama.

Kenderaan dan rangka itu kini diserahkan kepada Pejabat Pemeriksa Perubatan Palm Beach untuk diproses.

Moldt meninggalkan sebuah kelab malam pada lewat 7 November 1997, kira-kira jam 11 malam.

Beliau dilaporkan tidak berada dalam keadaan mabuk ketika itu dan memandu bersendirian.

Mendiang dilaporkan menghubungi teman wanitanya daripada bar berkenaan kira-kira jam 9.30 malam untuk memberitahu beliau akan pulang. Itu adalah kali terakhir mereka berhubung. - Agensi

Berita Harian X