Selasa, 10 September 2019 | 4:03pm
Pasukan Polis Diraja Bahamas mengusung mayat yang ditemui di kawasan perumahan yang musnah akibat Taufan Dorian di Pelabuhan Marsh, Great Abaco, Bahamas. - Foto REUTERS

Mangsa terselamat Taufan Dorian mungkin 'orang jahat' - Trump

WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat (AS) perlu berhati-hati sebelum membenarkan warga Bahamas yang terselamat daripada Taufan Dorian masuk ke negara itu, kerana bimbang terdapat individu yang ‘tidak baik’ dalam kalangan mereka.

Kenyataan itu dibuat susulan ratusan mangsa taufan yang terselamat pada hari sebelumnya, dilarang menaiki bot dari Bahamas ke Florida kerana tidak mempunyai visa.

Pegawai kanan imigresen AS sebaliknya menyifatkan insiden itu sebagai satu kesilapan.

Bercakap kepada wartawan di luar Rumah Putih, Trump berkata semua orang perlu memiliki dokumen diri yang lengkap.

“Saya tidak mahu membenarkan individu yang tidak sepatutnya berada di Bahamas untuk masuk ke AS termasuk mereka yang dianggap penjenayah yang sangat jahat seperti ahli kongsi gelap dan juga pengedar dadah yang terlalu kejam,” katanya.


Sebahagian penduduk menuju ke feri Pelabuhan Marsh di Pulau Abaco untuk mencari kawasan selamat selepas Taufan Dorian membadai kawasan di Nassau, Bahamas. - Foto AFP

Ketika mengumumkan pencalonannya sebagai presiden pada Jun 2015, Trump pernah mengeluarkan kenyataan menghina terhadap pendatang Mexico sama seperti kenyataannya terhadap mangsa Taufan Dorian.

Trump memberi amaran bahawa mereka mungkin membawa masuk dadah, jenayah serta pernah merogol.

Pemangku Pesuruhjaya Kastam dan Kawalan Sempadan AS, Mark Morgan berkata, sekiranya nyawa penduduk di Bahamas terancam, mereka akan dibenarkan masuk ke AS dengan syarat mereka tidak dianggap sebagai individu yang mendatangkan ancaman.

Menurut pihak berkuasa Bahamas, angka terkini korban Taufan Dorian mencecah 45 orang, seminggu selepas taufan itu membadai kepulauan terbabit. - AFP

1742 dibaca
Berita Harian X