Selasa, 10 September 2019 | 8:07am
Pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan anak kapal MV Golden Ray, yang terperangkap di St Simons Island, Georgia. Foto AFP

3 anak kapal MV Golden Ray berjaya diselamatkan

WASHINGTON: Tiga anak kapal kargo milik Korea Selatan yang karam di pantai Brunswick, Georgia berjaya diselamatkan anggota penyelamat, semalam.

Menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat, anggota penyelamat terpaksa menebuk lubang pada badan kapal berkenaan, untuk mengeluarkan anak kapal yang terperangkap.

Operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengeluarkan seorang lagi anak kapal MV Golden Ray, yang terbakar di St Simons Sound di pantai Brunswick, Georgia itu.

Jurucakap Pengawal Pantai Amerika Syarikat, Kapten John Reed, berkata anak kapal itu terperangkap di bilik kawalan kejuruteraan, kapal terbabit.

“Kami akan mencari jalan untuk mengeluarkannya dengan selamat,” kata Reed.

Pada Ahad lalu, 19 anak kapal MV Golden Ray dan seorang malim warga Amerika Syarikat berjaya diselamatkan anggota penyelamat, selepas kapal kargo itu karam.

Bagaimanapun, operasi menyelamat pada waktu malam, bagi mengeluarkan empat anak kapal yang terperangkap di bilik enjin, terpaksa ditangguhkan akibat kebakaran.

Reed berkata, pengawal pantai berjaya menghubungi anak kapal terbabit semalam, sebelum menebuk lubang pada badan kapal itu, bagi menyelamatkan mereka.

Beliau berkata, kesemua anak kapal itu berada di dalam keadaan baik, walaupun selepas terperangkap dalam bilik enjin itu selama 34 jam atau 35 jam.

Sementara itu, Kementerian Luar Korea Selatan, berkata 13 daripada anak kapal yang diselamatkan adalah warga Filipina, manakala baki enam lagi adalah warga Korea Selatan dan seorang warga Amerika Syarikat.

Katanya, empat anak kapal yang terperangkap adalah rakyat Korea Selatan.

Kapal MV Golden Ray adalah milik Hyundai Glovis, iaitu anak syarikat pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai, tetapi berlayar menggunakan bendera Kepulauan Marshall

Kapal seberat 71,000 tan itu mampu memuatkan kira-kira 7,000 kenderaan dan dibina pada 2017. - AFP

628 dibaca
Berita Harian X