Ahad, 8 September 2019 | 1:05pm
Keadaan perumahan yang dibadai Taufan Dorian di Great Abaco, Bahamas. - Foto REUTERS

Ribuan penduduk Bahamas tinggalkan pulau akibat Taufan Dorian

MARSH HARBOUR (BAHAMAS) : Ribuan penduduk Bahamas berpusu-pusu meninggalkan kepulauan itu selepas teruk dibadai taufan Dorian yang meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa, ketika ia bergerak menuju ke barat laut dan melanda kawasan berhampiran Halifax. Kanada semalam.

Puluhan pesawat penumpang, helikopter dan kapal milik sektor swasta dan kerajaan termasuk kapal persiaran berhimpun di Pulau Abaco di Bahamas yang teruk terjejas bagi membantu proses pemindahan ke Nessau dan tanah besar Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan CNN, orang ramai mula berpindah sejurus kapal yang boleh membawa 1,400 orang itu berlabuh semalam di Pantai Riviera, Florida.

Kesemua penduduk berkenaan memiliki dokumen kebenaran untuk memasuki AS.


Sebahagian rumah yang musnah akibat Taufan Dorian melanda Pelabuhan Marsh, Great Abaco, Bahamas. - Foto REUTERS

Lebih daripada 260 penduduk Abacos tiba di Nassau Jumaat lalu menggunakan feri disewa khas oleh kerajaan, iaitu gelombang pertama perpindahan beramai-ramai.

Pengawal pantai berkata, kesemua pelabuhan Bahamas sudah dibuka, serentak dengan penghantaran sembilan kapal saiz sederhana ke kepulauan berkenaan.

Selain itu, mereka turut menggunakan khidmat enam helikopter MH-60 Jayhawk yang sehingga kini berjaya memindahkan 290 orang.

Perdana Menteri Huber Minnis berkata, jumlah kematian yang mencecah 35 setakat ini di Abacos dan lapan di Grand Bahama dijangka terus meningkat.

Sementara itu ribuan kilometer di bahagian utara, penduduk Kanada mula bersiap sedia menghadapi kedatangan Dorian di bandar pelabuhan Halifax yang disifatkan sebagai ribut berbahaya. - AFP

378 dibaca
Berita Harian X