Rabu, 14 Ogos 2019 | 11:44am

FAA larang model tertentu MacBook Pro dibawa naik pesawat

WASHINGTON: Pengurusan Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) melarang beberapa model komputer riba MacBook Pro dibawa menaiki mana-mana penerbangan selepas syarikat pengeluar peranti itu menarik semula unit tertentu kerana memiliki bateri yang mampu mendatangkan risiko kebakaran.

“FAA diberitahu bahawa bateri digunakan dalam model tertentu MacBook Pro

yang sudah ditarik semula itu berisiko mencetuskan kebakaran,” kata jurucakap agensi berkenaan dalam satu kenyataan, Isnin lalu.

Menurut jurucakap berkenaan, semua syarikat penerbangan sudah dimaklumkan berhubung penarikan semula produk terbabit dari pasaran.

Apple Inc pada Jun lalu memberitahu akan menarik semula sejumlah komputer riba 15 inci MacBook Pro kerana bateri yang mudah mencapai suhu panas melampau.

Kesemua unit berkenaan memasuki pasaran antara September 2015 dan Februari 2017.

Apple tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan keterangan lanjut. - Reuters

Berita Harian X