Khamis, 1 Ogos 2019 | 9:53am
JOHN Bolton.
JOHN Bolton.

Ujian nuklear Korea Utara tidak langgar janji pada Trump

WASHINGTON: Penasihat Keselamatan negara Amerika Syarikat (AS), John Bolton berkata ujian peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini tidak melanggar janji pemimpinnya, Kim Jong-un kepada Presiden Donald Trump.

Tetapi, Pyongyang masih belum menentukan bilakah mesyuarat peringkat kerja berhubung penamatan program nuklear akan disambung semula.

Ujian peluru berpandu jarak dekat Korea Utara pada Selasa dan minggu lalu tetap dilakukan walaupun rundingan pada 30 Jun lalu antara Jong-un dan Trump bersetuju untuk menyambung semula rundingan.

Pihak AS masih menanti keputusan Korea Utara untuk menyelia perbincangan itu, kata Bolton kepada Fox Business Network.

“Ujian peluru berpandu ini tidak melanggar janji yang dibuat Jong-un kepada presiden berhubung peluru berpandu balisktik antara benua,” katanya.

“Tetapi bilakah diplomasi sebenar akan bermula, bila mesyuarat peringkat kerja berhubung penamatan program nuklear akan bermula, seperti yang dikatakan Jong-un pada 30 Jun lalu. Kami masih menunggu keputusan Korea Utara.”

Korea Utara menuduh Washington melanggar janji apabila merancang untuk meneruskan latihan ketenteraan dengan Korea Selatan bulan ini.

Utara turut mengancam akan memulakan kembali ujian peluru berpandu jarak jauh yang dihentikan sejak 2017.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan pertahanan AS berkata, AS tidak bercadang untuk membuat sebarang perubahan terhadap latihan berkenaan walaupun menerima tekanan Pyongyang. - Reuters

Berita Harian X