Sabtu, 27 Julai 2019 | 10:26am

E-rokok bahaya, perlu pemantauan - WHO

RIO DE JANEIRO: Pertubuhan Kesihatan Sedunia mahu rokok elektronik (e-rokok) perlu diselia kerana ia jelas berbahaya, dan memberi amaran mengenai penggunaan produk vape oleh perokok yang mahu berhenti merokok.

Populariti e-rokok, peranti digerakkan dengan kuasa bateri yang membolehkan pengguna menyedut cecair nikotin yang menyebabkan ketagihan, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembuat dasar seluruh dunia yang menganggap ia sebagai pintu baharu ketagihan bagi golongan muda.

Walaupun vape mendedahkan pengguna kepada paras toksin rendah berbanding merokok, WHO berkata, peranti itu masih memberikan risiko kesihatan kepada pengguna.

“Walaupun tahap khusus risiko berkaitan dengan sistem penghantaran nikotin elektronik (ENDS) belum dianggarkan secara konsisten, ENDS jelas berbahaya dan perlu dijadikan subjek pemantauan,” kata WHO dalam laporan baharu mengenai wabak merokok global.

Ada juga bukti tidak kukuh menyokong dakwaan keberkesanannya dalam membantu perokok yang cuba berhenti merokok.

“Di kebanyakan negara yang mudah diperoleh, majoriti pengguna e-rokok terus menggunakan bahan itu dan rokok serentak, yang tidak memberi impak bermanfaat kepada risiko dan kesan kesihatan,” menurut laporan.

Syarikat tembakau terkemuka memasarkan e-rokok dan tembakau secara agresif sejak beberapa tahun ini bagi mencari pelanggan baharu.

Mereka berkata, produk seumpama itu kurang bahaya berbanding rokok biasa dan boleh membantu perokok bertukar kepada alternatif lebih selamat. — AFP

Berita Harian X