Rabu, 17 Julai 2019 | 4:30pm
Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing dilarang masuk Amerika Syarikat. - Foto Reuters
Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing dilarang masuk Amerika Syarikat. - Foto Reuters

AS larang kemasukan panglima, tiga pegawai tentera Myanmar

WASHINGTON: Amerika Syarikat, semalam mengumumkan sekatan ke atas Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing dan beberapa ketua tentera lagi berhubung pembunuhan luar undang-undang penduduk Islam Rohingya, melarang mereka memasuki negara itu.

Langkah itu, yang turut meliputi timbalannya, Soe Win, dan dua lagi komander kanan dan keluarga mereka, adalah yang paling tegas diambil AS sebagai reaksi kepada pembunuhan beramai-ramai minoriti Rohingya di Myanmar.

“Kami kekal bimbang kerajaan Myanmar tidak mengambil tindakan untuk meletakkan tanggungjawab ke atas mereka yang melanggar dan mencabul hak asasi manusia, dan ada laporan berterusan tentera Myanmar melanggar dan mencabul hak asasi manusia di seluruh negara,” kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, dalam kenyataan ketika membuat pengumuman itu.

Pompeo berkata, arahan Min Aung Hlaing, supaya membebaskan tentera yang disabitkan melakukan pembunuhan luar undang-undang di kampung Inn Din ketika operasi pembersihan etnik Rohingya pada 2017 adalah antara contoh ketara pasukan tentera dan kepemimpinan kanannya tidak bertanggungjawab.

“Panglima Angkatan Tentera membebaskan penjenayah selepas beberapa bulan dalam penjara, manakala wartawan yang memberitahu dunia mengenai pembunuhan di Inn Din dipenjraa lebih 500 hari,” kata Pompeo.

Pembunuhan beramai-ramai di Inn Din didedahkan dua wartawan Reuters, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo, yang dipenjarakan 16 bulan atas dakwaan memperoleh rahsia negara.

Kedua-duanya dibebaskan selepas mendapat pengampunan pada 6 Mei lalu. — Reuters

Berita Harian X