Isnin, 20 Mei 2019 | 3:04pm

Kapal perang AS 'cari pasal' di Laut China Selatan

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat mengesahkan sebuah kapal perang tentera laut negara itu sedang belayar dekat wilayah pertikaian, Scarborough Shoal di Laut China Selatan yang didakwa China miliknya.

Tindakan itu dilihat bakal membangkitkan kemarahan Beijing ketika ketegangan antara kedua-dua negara musuh ekonomi itu kian memuncak.

Laluan perairan yang sibuk itu adalah satu daripada titik punca yang bakal menjejaskan hubungan antara Amerika Syarikat - China yang turut membabitkan perang perdagangan, sekatan dan Taiwan.

Jurucakap tentera Amerika berkata, kapal pemusnah Preble melaksanakan operasi itu.

“Preble belayar pada jarak 12 batu nautika di sekitar Scarborough Reef dalam usaha untuk mencabar tuntutan maritim yang melampau dan mengekalkan akses ke laluan air yang dikawal oleh undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Armada Ketujuh, Clay Doss. - Reuters

Berita Harian X