Selasa, 14 Mei 2019 | 6:00pm
Madonna
Madonna

Madonna enggan tunduk desakan boikot

LOS ANGELES: Bintang pop, Madonna semalam, menjelaskan bahawa keputusan untuk mengadakan persembahan di Israel, minggu ini, tidak akan menghalangnya daripada terus memperjuangkan isu hak asasi manusia.

Madonna yang akan memeriahkan Pertandingan Nyanyian Eurovision (Eurovision) itu, berharap persembahan berkenaan mampu membuka jalan bagi keamanan di rantau terbabit.

Beliau akan tampil sebagai tetamu jemputan pada acara peringkat akhir Eurovision pada Sabtu ini di Tel Aviv.

Susulan pemilihan lokasi itu juga, tindakan boikot dilancarkan oleh aktivis pro Palestin, selain menggesa syarikat, penghibur dan kerajaan berundur dari Israel.

Pertandingan Eurovision menampilkan ahli muzik dari lebih 40 negara dan seramai 189 juta penonton di 50 negara sekitar Eropah menyaksikan acara itu tahun lalu.

Sementara itu, mengulas keputusannya menyanyi di acara itu, Madonna berkata, beliau menyokong hak asasi semua manusia di dunia ini.

“Saya tidak akan berhenti bermain muzik yang sesuai, hanya bagi memenuhi agenda politik seseorang itu.

“Saya juga tidak akan berhenti bercakap mengenai pelanggaran hak asasi manusia, walaupun di mana juga di dunia ini.

“Saya berasa kecewa setiap kali mendengar berita mengenai kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa di rantau ini dan keganasan berterusan yang sering berlaku bagi memenuhi matlamat politik sesetengah pihak, iaitu yang bakal mendapat manfaat dari konflik kuno itu.

“Saya berharap dan berdoa bahawa kita akan segera dibebaskan daripada kitaran kemusnahan yang dahsyat ini dan mewujudkan jalan baharu menuju perdamaian,” katanya dalam satu kenyataan kepada Reuters.

Israel menjadi tuan rumah pertandingan Eurovision kali ini, selepas seorang penyanyi dari negara itu, Netta Barzilai memenangi acara itu tahun lalu.

Setiap negara yang memenangi pertandingan itu akan menjadi tuan rumah, acara berkenaan pada tahun seterusnya.

Dalam pada itu, Madonna, 60, dijangka mempersembahkan dua lagu di Tel Aviv, termasuk salah satu lagu dari album terbaharunya, Madame X yang bakal dilancarkan pada Jun ini.

Penyanyi itu pernah mengadakan siri jelajah dunia ke Israel pada 2009 dan 2012, adalah pengikut fahaman Yahudi mistik, Kabbalah. - Reuters

Berita Harian X