Khamis, 2 Mei 2019 | 10:30am
Pentadbir NASA, Jim Bridenstine. - Foto NASA

Kapsul SpaceX musnah sama sekali - Senat AS

WASHINGTON: Sebuah kapsul yang dipercayai meletup bulan lalu dalam insiden yang disifatkan pengeluarnya SpaceX sebagai satu ‘kejanggalan’ sebenarnya musnah sama sekali, kata seorang senator Amerika Syarikat (AS) semalam.

“Kejanggalan pada kapsul kru terbaru SpaceX itu mengakibatkan ia musnah sama sekali, kata pengerusi suruhanjaya Senat, Richard Shelby, yang turut mengendalikan bajet Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA).

Pentadbir NASA, Jim Bridenstine memberitahu Shelby, agensi itu akan menjalankan penyiasatan bersama SpaceX, milik Elon Musk dan Boeing.

Sehingga kini, NASA dan SpaceX masih belum mendedahkan punca sebenar yang menyebabkan insiden serius ketika ujian enjin dijalankan pada 25 April lalu.

Baru-baru ini, NASA juga secara tidak langsung mengesahkan satu video letupan di angkasa yang tular di Twitter.

NASA bergantung kepada kapsul Crew Dragon SpaceX untuk mengangkut angkasawan pergi dan balik dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), tugas yang dikendalikan Russia sejak 2011.

Mengikut perancangan awal, kapsul yang musnah itu dijangka akan dilancarkan oleh sebuah roket beberapa bulan lagi.

SpaceX dan NASA kini perlu segera mencari punca letupan serta menggantikan kapsul terbabit.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai matlamat NASA untuk menghantar angkasawannya dari tanah AS menjelang akhir tahun 2019. - AFP

Berita Harian X