Sabtu, 23 Februari 2019 | 4:00pm
Aduan difailkan semalam di California membabitkan hartanah mewah di London dan New York, serta penukaran ekuiti dalam sebuah syarikat pengurusan kemudahan Kentucky, terkait dengan tawaran bon pada 2012 dan 2013 dari dana 1MDB. -Foto Agensi
Aduan difailkan semalam di California membabitkan hartanah mewah di London dan New York, serta penukaran ekuiti dalam sebuah syarikat pengurusan kemudahan Kentucky, terkait dengan tawaran bon pada 2012 dan 2013 dari dana 1MDB. -Foto Agensi

AS fail tuntutan rampas aset 1MDB AS$38 juta

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) semalam berkata, ia memfailkan tuntutan bagi merampas dan mendapatkan semula kira-kira AS$38 juta (RM155.03 juta) aset dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhard atau 1MDB.

Ia menjadikan jumlah aset 1MDB yang sepatutnya dirampas kira-kira AS$1.7 bilion (RM6.94 bilion).

“Tuntutan baharu ini menyasar aset dikumpul pegawai dilingkari rasuah dan sekutu mereka menerusi skim besar-besaran yang mencuri bilion dolar daripada rakyat Malaysia dan mengagihkannya di seluruh dunia,” kata Peguam AS, Nick Hanna dalam satu kenyataan.

Aduan difailkan semalam di California membabitkan hartanah mewah di London dan New York, serta penukaran ekuiti dalam sebuah syarikat pengurusan kemudahan Kentucky, terkait dengan tawaran bon pada 2012 dan 2013 dari dana kekayaan itu, kata jabatan itu.

Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara itu mungkin menangguhkan ekstradisi bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc yang dikehendaki dalam skandal multi bilion dolar itu supaya dia berdepan tuduhan jenayah di negara Asia Tenggara terbabit terlebih dulu.

Jabatan itu menganggarkan sejumlah AS$4.5 bilion (RM18.36 bilion) dana 1MDB diseleweng oleh pegawai peringkat tinggi dan sekutu mereka antara 2009 dan 2014, termasuk sesetengah dana dikumpul Goldman Sachs sebagai penaja jamin dan pengatur jualan tiga bon berjumlah AS$6.5 bilion (RM26.52 bilion). -Reuters

Berita Harian X