Rabu, 13 Februari 2019 | 7:06am
PENUNJUK perasaan berarak di Port-au-Prince, Haiti. - Foto AFP

78 banduan terlepas ketika rusuhan di Haiti

PORT-AU-PRINCE : Kesemua 78 banduan di penjara Haiti melarikan diri semalam ketika rusuhan menentang Presiden Jovenel Moise, iaitu sebahagian daripada siri keganasan yang semakin merebak di seluruh negara.

Saksi berkata, rusuhan anti Moise itu berlaku di hadapan balai polis yang bersambung dengan penjara di Aquin, sebuah pekan dihuni kira-kira 100,000 penduduk di Semenanjung Tiburon, selatan negara itu.

Bekas koloni Perancis itu berdepan krisis politik yang menyaksikan penduduk merusuh di jalan raya di sekitar ibu negara dan beberapa lokasi lain sejak minggu lalu bagi mendesak Moise melepaskan jawatan.

Beberapa halangan diletakkan di kawasan tertentu di ibu negara dan bandar lain manakala penunjuk perasaan terus mendesak presiden menjawab segala laporan penyelewengan serta salah urus dana pembangunan di negara termiskin Caribbean itu.

Keadaan di penjara Haiti dianggap antara yang paling buruk di dunia oleh kumpulan hak asasi manusia.

Ia padat dengan penghuni, selain berdepan masalah kebersihan, kekurangan makanan dan penjagaan kesihatan.

Sistem kehakiman negara itu pula terlalu lembab dan turut menyumbang kepada semua krisis itu.

Pada Oktober tahun lalu, siasatan mendapati tiga suku daripada 11,839 banduan di Haiti masih menanti keputusan mahkamah, malah ada kes yang tertangguh melebihi 10 tahun. - AFP

Berita Harian X