Khamis, 17 Januari 2019 | 4:47pm
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali. - Foto Agensi
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali. - Foto Agensi

Lapangan terbang dinamakan semula sempena Muhammad Ali

KENTUCKY: Bandar raya Louisville dijangka menamakan semula lapangan terbangnya sempena wira dan legenda tinju dunia, Muhammad Ali, yang meninggal dunia pada 2016.

Pengumuman itu dibuat sehari sebelum ulang tahun Ali ke-77.

Lapangan terbang itu akan dikenali dengan nama baru Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali, kata pegawai semalam.

Dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial, lapangan terbang berkata lembaga pengarahnya ‘mengundi dengan penuh makna’ untuk mengiktiraf legasi Ali sebagai anak kelahiran Louisville dengan menamakan semula lapangan terbang sebagai menghormati beliau.

Bagaimanapun pengenalan tiga huruf lapangan terbang itu, SDF, tidak akan ditukar.

Datuk Bandar Louisville, Greg Fischer, berkata dalam tweet: “Muhammad Ali milik dunia tetapi beliau cuma ada satu kampung halaman.

“Keputusan hari ini untuk menukar nama lapangan terbang kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali adalah sebahagian besar usaha meluas untuk meraikan hubungan mendalam itu.”

Ali dilahirkan di Louisville, Kentucky, pada 17 Januari 1942, sebagai Cassius Marcellus Clay Jr.

Beliau menukar namanya selepas memeluk Islam. — Agensi

Berita Harian X