Rabu, 9 Januari 2019 | 11:00pm

Polis Suriname rampas dua tan kokain

PARAMARIBO (Suriname): Polis Suriname mendakwa berjaya membuat rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara itu, apabila menemui kokain seberat 2,000 kilogram.

“Jumlah rampasan terbesar yang pernah dicatatkan selepas menemui dadah seberat 1,300 kilogram dan ia dijangka meningkat,” kata peguam negara Suriname, Roy Baidjnath Panday.

Media tempatan melaporkan, kokain seberat 2,300 kilogram bernilai kira-kira 100 juta euro (RM470.5 juta) berjaya dirampas di pelabuhan Jules Sedney di sini, pada Selasa lalu.

Dadah berkenaan dilapor disembunyikan di celah timbunan guni beras dan ia bakal dihantar ke Guadeloupe di Perancis, sebelum dieksport ke tanah besar Perancis.

Pihak polis turut menahan pemilik syarikat Nivash Rice Company, Nitender Oemrawsingh yang mengendalikan penghantaran beras itu.

Pegawai kastam yang bertanggungjawab meluluskan penghantaran itu turut diberkas.

Penemuan dadah itu adalah dalam tempoh kurang dua minggu selepas pihak polis berjaya merampas sebuah kapal karam yang dibina oleh pengedar dadah.

Dalam kejadian itu, tujuh warga Colombia dan seorang rakyat Cuba turut ditahan.

Tahun lalu, polis negara itu berjaya memintas sebuah pesawat dari Brazil yang membawa 500 kilogram kokain. - AFP

Berita Harian X