Isnin, 7 Januari 2019 | 9:09pm
Amerika Syarikat dan sekutunya menghantar pesawat dan kapal perang secara berkala ke kawasan yang dituntut China. - Foto fail

Kapal perang AS belayar di Laut China Selatan

WASHINGTON: Sebuah kapal pemusnah peluru berpandu Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) belayar berhampiran pulau-pulau yang dituntut China di Laut China Selatan, sekali gus mencetuskan kemarahan China ketika perbincangan perdagangan antara kedua-dua negara itu bermula.

AS dan sekutunya menghantar pesawat dan kapal perang secara berkala ke kawasan yang dituntut China, sebagai isyarat kepada Beijing bahawa mereka berhak melalui perairan itu di bawah undang-undang antarabangsa.

Jurucakap Armada Pasifik AS, Rachel McMarr memberitahu AFP, kapal pemusnah USS McCampbell belayar pada jarak 22 kilometer dari Kepulauan Paracel untuk mencabar tuntutan maritim berlebihan itu.

Beliau menyifatkan operasi kebebasan navigasi itu bukan ditujukan kepada mana-mana negara tertentu mahupun satu bentuk kenyataan politik.

Beijing mengesahkan operasi itu, menyifatkannya sebagai pelanggaran kedaulatan China yang menjejaskan keamanan, keselamatan dan ketenteraman di Laut China Selatan.

Operasi dijalankan ketika China dan AS memulakan rundingan di Beijing untuk mencari jalan penyelesaian perang perdagangan yang mendorong kedua belah pihak mengenakan tarif ke atas nilai perdagangan dua hala bernilai lebih $300 bilion (RM1.2 trilion) tahun lalu.

Selain China, Kepulauan Paracel turut dituntut oleh Taiwan dan Vietnam.

Beijing menegaskan bahawa hampir seluruh Laut China Selatan adalah wilayahnya sedangkan ia turut dipertikai Taiwan, Filipina, Brunei, Malaysia dan Vietnam. - AFP

Berita Harian X