Selasa, 18 Disember 2018 | 8:51am
Seorang pegawai keselamatan Somalia mengawal kawasan serangan di Mogadishu, Somalia. - Foto AFP
Seorang pegawai keselamatan Somalia mengawal kawasan serangan di Mogadishu, Somalia. - Foto AFP

Serangan udara AS bunuh 62 anggota militan Shabaab

WASHINGTON : Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan telah membunuh 62 anggota militan Shabaab dalam enam serangan udara di Somalia sepanjang hujung minggu lalu.

Ketumbukan Tentera AS Afrika dalam satu kenyataan berkata, empat serangan udara pada Sabtu lalu mengorbankan 34 anggota militan manakala 28 lagi terbunuh dalam dua serangan udara pada Ahad.

Serangan udara berkenaan yang dilakukan di selatan ibu negara Somalia iaitu Mogadishu adalah yang terbesar sejak November lalu, membabitkan kematian 100 anggota militan.

Jurucakap Pentagon, Kolonel Rob Manning berkata, serangan terbabit dilaksanakan bersama rakan dari Somalia bagi mengekang tindakan militan menggunakan kawasan terpencil untuk merancang serangan pada masa akan datang.

Beliau memberitahu, tiada orang awam terkorban atau tercedera dalam serangan berkenaan.

Menurut Manning, tindakan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan serangan ke atas Shabaab setakat ini pada tahun 2018 mencecah 45.

Tahun lalu Manning berkata jumlah keseluruhan serangan ialah 35 dan ia adalah satu kejayaan untuk misi membanteras aktiviti pengganas di Somalia.

“Pencapaian kita semakin baik dan kerana itu kita berjaya mencari dan menghapuskan pertubuhan pengganas,” kata Manning.

Peningkatan operasi AS di Somalia berlaku apabila Presiden Donald Trump pada Mac tahun lalu melonggarkan peraturan terhadap tentera AS untuk mengambil tindakan ke atas pengganas apabila diperlukan tanpa perlu mendapatkan kelulusan Rumah Putih terlebih dahulu.

AS bekerjasama dengan Misi Kesatuan Afrika ke Somalia (AMISOM) dan pasukan keselamatan nasional Somalia dalam membanteras pengganas dan sering melakukan serbuan serta serangan ke atas kem latihan Shabaab di seluruh negara.

Sehingga Ogos, Pentagon menganggarkan terdapat antara 3,000 hingga 7,000 anggota Shabaab dan 70 hingga 250 anggota Daesh Somalia di sekitar rantau Tanduk Afrika. - AFP

Berita Harian X