Ahad, 2 Disember 2018 | 10:24am
PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron pada sidang media di sidang kemuncak G20 di Buenos Aires. - Foto AFP

'Saya tidak terima keganasan' - Macron

BUENOS AIRES: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengecam penunjuk perasaan yang menentangnya sebagai ‘pencuri perhatian’, ketika tunjuk perasaan yang dirancang untuk membantah kenaikan bahan api, akhirnya bertukar menjadi ganas.

“Saya tidak terima keganasan. Tidak ada satu alasan pun yang membenarkan serangan terhadap pihak berkuasa, menyebabkan perniagaan terjejas, mengganggu orang awam atau wartawan dan mencemari Arc de Triomphe,” katanya kepada wartawan pada sidang media di sidang kemuncak G20, di sini, susulan tindakan kumpulan belia ‘ves kuning’ menunjuk perasaan.

Macron seperti pemimpin dunia lain cuba memberikan tumpuan ketika sidang kemuncak di Buenos Aires berhubung beberapa isu global terutamanya isu perubahan iklim yang dipandang remeh oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Bagaimanapun, beliau berulang kali didesak untuk menjawab masalah dalaman negara, hingga sukar untuk menyebut ‘ves kuning’ - jaket kecemasan yang menjadi lambang gerakan awal yang dicetuskan beliau untuk ekonomi rendah karbon.

“Mereka yang bertanggungjawab melakukan rusuhan ini, menolak perubahan dan kemajuan, mereka mahukan keganasan. Mereka mewujudkan alasan untuk mengkhianati, dengan berselindung di sebalik tugasan dan akhirnya memanipulasi keadaan.

“Mereka akan dikenal pasti dan dihadapkan kemuka pengadilan,” kata Macron.

Macron berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama perdana menteri dan menteri dalam negeri, sekembalinya ke Paris, hari ini untuk membincangkan isu itu.

“Saya sentiasa menghormati perdebatan dan saya sering mendengar pandangan pembangkang tetapi saya tidak boleh menerima keganasan,” kata Macron.

Tunjuk perasaan bermula di kawasan luar bandar Perancis dalam kalangan rakyat yang menganggap cukai minyak yang tinggi adalah kemewahan kawasan bandar yang tidak mampu ditanggung mereka.

Bantahan itu akhirnya meluas bertukar menjadi gerakan membantah pemerintahan Macron. - AFP

Berita Harian X