Isnin, 19 November 2018 | 1:16pm
Penduduk peribumi Chile, Mapuche dan aktivis hak asasi manusia mengadakan bantahan di hadapan polis rusuhan susulan kematian Marin di Santiago 15 November lalu. -Foto AFP
Penduduk peribumi Chile, Mapuche dan aktivis hak asasi manusia mengadakan bantahan di hadapan polis rusuhan susulan kematian Marin di Santiago 15 November lalu. -Foto AFP

Guna periuk, kuali, bantah pembunuhan lelaki peribumi Chile

SANTIAGO: Sambil mengetuk periuk dan kuali, penduduk Chile membuat bantahan malam semalam susulan kematian seorang lelaki peribumi yang ditembak polis, dalam kecaman keras terhadap cara Presiden konservatif Sebastian Pinera menguruskan hubungan dengan masyarakat Asli Mapuche.

Bunyi gendang logam itu mampu didengar di seluruh ibu kota ini ketika penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Menteri Dalam Negeri Andres Chadwick dan gabenor rantau Selatan di Araucania, di mana lelaki terbabit ditembak.

Penunjuk perasaan menuntut Chadwick meletak jawatan susulan kematian penduduk peribumi. -Foto Agensi
Penunjuk perasaan menuntut Chadwick meletak jawatan susulan kematian penduduk peribumi. -Foto Agensi

Camilo Catrillanca Marin, 24, ditembak di kepala Rabu lalu selepas polis mendakwa berdepan serangan senjata automatik ketika operasi menahan seorang suspek samseng pencuri kereta di kawasan pedalaman berhampiran bandar Ercilla, sejauh 772 kilometer selatan ibu kota ini.

Pembunuhan itu memusatkan perhatian terhadap hubungan kerajaan dengan masyarakat peribumi dan tadbir urus tanah warisan Mapuche.

Bercakap ketika satu lawatan rasmi ke New Zealand, Pinera menyifatkan insiden itu sebagai ‘amat dikesali,’ menambah beliau memiliki keyakinan penuh terhadap Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Awam berhubung siasatan mereka dalam mengendalikan insiden itu. -Reuters

Berita Harian X