LOS ANGELES: Keluarga penyanyi Chris Cornell memfailkan saman terhadap doktor di Beverly Hills, mendakwa ubat berlebihan yang diberikan kepada bintang rock itu membawa kepada tindakannya membunuh diri tahun lalu.
Saman itu difailkan di Mahkamah Agung Los Angeles, mendakwa Dr Robert Koblin ‘dengan cuai dan berulang kali’ memberikan 940 dos ubat antikebimbangan, Lorazepam, juga dikenali sebagai Ativan, kepada penyanyi itu bermula 2015 dan sehingga kematiannya pada Mei 2017.
Saman itu, difailkan bagi pihak balu Cornell, Vicky Cornell, dan dua anak mereka, menyatakan Koblin memberikan ubat itu kepada penyanyi berkenaan sepanjang tempoh itu tanpa memeriksa keadaan beliau.
“Tiada sekali pun dalam tempoh itu, Dr Koblin mengadakan pemeriksaan ke atas Cornell, melakukan sebarang kajian makmal, mendapatkan sejarah awal atau membuat sebarang penilaian klinikal ke atas Cornell.
“Malah beliau tidak berjumpa atau bercakap secara fizikal dengan Cornell sepanjang tempoh itu,” menurut kenyataan.
Saman mendakwa ubat itu ‘merosakkan keupayaan mental Cornell, membayangi penilaiannya dan menyebabkan beliau terbabit dalam tindak tanduk bahaya yang tidak dapat dikawal, membawa kepada kematiannya’.
“Ketika kematiannya, Cornell memiliki semuanya dan bercadang merakamkan lagi, mengadakan persembahan dan meneruskan usaha sebagai aktivis kebajikan,” menurut saman itu lagi.
Cornell, yang bergelut dengan dadah dan kemurungan, ditemui mati pada 18 Mei 2017 di hotel di Detroit selepas mengadakan persembahan dengan kumpulannya, Soundgarden ketika berusia 52 tahun. — AFP