Sabtu, 27 Oktober 2018 | 2:10pm
CESAR Altieri Sayoc
CESAR Altieri Sayoc

Suspek bom paip, penyokong tegar Trump

PLANTATION: Suspek bom paip yang kini ditahan pihak berkuasa persekutuan dipercayai penyokong tegar pemimpin Republikan, Presiden Donald Trump.

Cesar Altieri Sayoc, 56 yang didakwa menghantar rangkaian mel mengandungi bom paip kepada pengkritik Trump secara terang-terangan mempamerkan kesetiaannya terhadap Trump dan kebencian terhadap Demokrat di akaun media sosial serta van miliknya.

Sayoc ditahan semalam atas dakwaan mengirim sekurang-kurangnya 13 peranti bahan letupan kepada pemimpin kanan Demokratik, bekas pegawai tinggi kerajaan dan beberapa lagi individu ternama, kata Pengarah FBI, Christopher Wray.

Ahli berdaftar Republikan yang mempunyai rekod jenayah serta pernah bekerja sebagai penari bogel itu mungkin berdepan hukuman sehingga 48 tahun penjara atau lebih.

Sayoc pernah beberapa kali ditahan sebelum ini, termasuk di Miami-Dade County pada 2002 kerana melakukan ancaman bom terhadap sebuah syarikat tenaga, menurut rekod mahkamah. Dia juga pernah ditangkap kerana mencuri dan keganasan rumah tangga.

Kecenderungan politik Sayoc dikongsi secara terang-terangan di laman Facebook dan akaun Twitter selain van putih miliknya yang dipenuhi pelekat pro-Trump dan pelekat anti-Demokrat. - AFP

Berita Harian X