Rabu, 10 Oktober 2018 | 7:52am
JUMLAH kematian akibat gempa bumi di Haiti meningkat kepada 17 orang. - Foto EPA

Jumlah kematian gempa bumi Haiti meningkat 17

PORT-AU-PRINCE : Jumlah kematian akibat gempa bumi di Haiti minggu lalu meningkat kepada 17 orang manakala hampir 350 lagi tercedera, kata kementerian dalam negeri semalam.

Sembilan orang terbunuh di bandar tepi laut Port-de-Paix iaitu bandar utama paling hampir dengan pusat gempa manakala tujuh lagi maut di Gros-Morne, kira-kira 50 kilometer di bahagian tenggara dan seorang penduduk terkorban di bandar Saint-Louis du Nor, kata kementerian itu.

Menurut pihak berkuasa, pekerja kecemasan telah digerakkan ke zon gempa yang setakat ini memusnahkan atau merosakkan kira-kira 7,800 kediaman susulan gegaran berukuran 5.9 itu.

Binaan bangunan di Haiti, negara termiskin di benua Amerika sering tidak mengikut standard diperlukan menyebabkan kemusnahan besar boleh berlaku walaupun akibat gempa bumi berukuran sederhana.

Port-de-Paix di Nord-Quest adalah kawasan paling teruk di Haiti dengan kebanyakan lokasi terasing dari penempatan berikutan keadaan jalan raya yang amat buruk.

Gempa bumi dan gegaran susulan dapat dirasai sehingga ke ibu negara, Port-au-Prince sekali gus menimbulkan ketakutan kepada penduduk yang masih berusaha untuk pulih selepas gempa bumi besar meragut 200,000 nyawa pada 2010. - AFP

Berita Harian X