Isnin, 8 Oktober 2018 | 7:56am
PENDUDUK terima rawat di Hospital Immaculate Conception di bandar Port-de-Paix. - Foto AFP
PENDUDUK terima rawat di Hospital Immaculate Conception di bandar Port-de-Paix. - Foto AFP

14 korban terkini gempa Haiti

PORT-DE-PAIX: Angka korban gempa bumi yang menggegarkan Haiti kelmarin kini sekurang-kurangnya 14 orang ketika agensi penyelamat bergelut mengesan mangsa di lokasi paling terjejas di negara Carribean itu.

Pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya lapan orang mati di pantai utara Port-de-Paix, berhampiran pusat gempa bumi berukuran 5.9 magnitud itu.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata gegaran dikesan pada kedalaman 11.7 kilometer.

Menurut pihak berkuasa tempatan, empat penduduk terbunuh di sekitar bandar Gros-Morne di selatan termasuk seorang wanita yang meninggal dunia akibat sakit jantung selepas dilanda gempa bumi.

Seorang lagi penduduk di bandar Chansolme terbunuh selepas sebuah rumah runtuh dan seorang lagi di Saint-Louis-du-Nord.

Wakil kerajaan tempatan berkata, 152 orang dilaporkan tercedera di Port-de-Paix manakala 30 lagi di Gros-Morne.

Gegaran susulan berukuran 5.2 magnitud semalam turut memaksa penduduk lari bertempiaran ke jalan raya di Port-de-Paix. Namun tiada kemusnahan dilaporkan.

Presiden Jovenel Moise berjanji akan menghantar pasukan polis tambahan dan tentera ke wilayah terjejas sambil berjanji akan membantu keluarga mangsa.

Gempa bumi kali ini antara yang terkuat pernah menggegarkan Haiti sejak gempa bumi berukuran 7.0 magnitud melanda ibu kota negara itu pada 2010. Berpuluh ribu penduduk terkorban dalam bencana itu. - Reuters

Berita Harian X