Selasa, 25 September 2018 | 9:22am
KUMPULAN BTS
KUMPULAN BTS

BTS gesa generasi muda bantu kempen UNICEF

NEW YORK : Ketika pemimpin dunia bersidang di New York bagi menghadiri perhimpunan tahunan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan muzik terkenal Korea Selatan, BTS mengambil kesempatan menggesa golongan muda untuk menyertai usaha membasmi diskriminasi dan kemiskinan di peringkat global.

Kumpulan dianggotai tujuh anak muda kegilaan ramai itu pada tahun ini muncul sebagai kumpulan K-pop pertama menduduki carta album Billboard 200 dan membuat rayuan di PBB untuk mendapatkan penyertaan generasi muda dalam menentukan masa depan dunia.

Kesemua 193 negara anggota PBB pada tiga tahun lalu bersetuju menggariskan 17 misi global dalam membasmi kemiskinan, diskriminasi dan beberapa isu antarabangsa lain menjelang 2030.

Susulan itu, pihak terbabit berulang kali menekankan kepentingan generasi muda untuk sama membabitkan diri, selaras dengan ramalan dana kanak-kanak PBB, UNICEF bahawa populasi golongan remaja dan belia di seluruh dunia bakal mencecah 2 bilion menjelang 2030.

Ketua BTS, Kim Namjoon atau RM mewakili kumpulan berkenaan membantu melancarkan kempen UNICEF dikenali sebagai ‘Generation Unlimited’ dan menggariskan beberapa isu yang dihadapi generasi muda di seluruh dunia serta keperluan untuk mengambil tindakan segera.

“Saya mahu mendengar suara anda. Saya mahu mendengar kisah anda. Dengarkan suara anda kepada dunia, tidak kira negara, warna kulit atau identiti, bersuaralah,” kata Namjoon, 24 dalam ucapan yang kemudiannya tular di media sosial.

BTS, ditubuhkan lima tahun lalu menguasai senarai Selebiriti Paling Berpengaruh Forbes Korea Selatan 2018 dan juga kumpulan K-pop pertama dipilih untuk berucap pada perhimpunan tahunan PBB. - Reuters

Berita Harian X