Isnin, 17 September 2018 | 1:50pm

Israel usir profesor AS kerana sokong Palestin

BAITULMAQDIS: Seorang profesor undang-undang Amerika Syarikat ditahan Israel ketika membantah tindakan rejim Zionis memusnahkan sebuah perkampungan Palestin di Tebing Barat dan akan dihantar pulang, kata peguamnya, hari ini.

Frank Romana yang dilahirkan di Amerika turut mempunyai kewarganegaraan Perancis dan mengajar undang-undang di Universiti Nanterre, Perancis.

Romano ditahan Jumaat lalu ketika menyertai bantahan itu di Khan al-Ahmar, sebuah perkampungan Badwi di timur Baitulmaqdis.

“Ini adalah keputusan pentadbiran untuk menghantarnya pulang,” kata peguamnya, Gaby Lansky kepada wartawan.

Romano, bagaimanapun, berkata dia akan melawan perintah menghantarnya pulang di mahkamah Israel.

“Saya akan buat rayuan jika mereka mahu usir saya,” katanya kepada wartawan selepas sesi keterangan ringkas di mahkamah, mengenai penghantaran pulangnya malam ini.

“Mereka tidak ada alasan untuk mengusir saya kerana saya tidak melakukan sebarang tindakan ganas,” tambahnya. Mahkamah juga menangguhkan sesi tanpa membuat keputusan.

Perkampungan yang dihuni 200 orang di wilayah ditakluki Tebing Barat boleh dimusnahkan bila-bila masa meskipun negara Eropah juga membantahnya.

Pada 5 September lalu, Mahkamah Agung Israel menyokong satu arahan memusnahkan perkampungan berkenaan atas sebab ia dibina tanpa permit.

Bagaimanapun, memang jarang bagi penduduk Palestin diberi permit oleh rejim Zionis untuk melakukan pembinaan di Kawasan C di Tebing Barat, lokasi Khan al-Ahmar.

Sebab sebenar mungkin kerana ia terletak di lokasi strategik berdekatan penempatan Yahudi dan dekat laluan menuju Laut Mati. - AFP

Berita Harian X