Isnin, 3 September 2018 | 7:05pm
ANGGOTA polis mengawal kawasan kebakaran di Brazil. - Foto AFP
ANGGOTA polis mengawal kawasan kebakaran di Brazil. - Foto AFP

Kebakaran besar musnah muzium tertua Brazil

RIO DE JANEIRO: Satu kebakaran besar berlaku di bangunan Muzium Negara, yang juga antara muzium tertua negara itu dan disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada ilmu serta warisan Brazil.

Sebanyak 20 jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran itu yang bermula sekitar jam 11.30 malam waktu tempatan.

Api yang memusnahkan ratusan bilik pameran berjaya dikawal kira-kira lima jam kemudian, namun anggota bomba masih bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran itu sepenuhnya.

Muzium di utara ibu negara berhampiran stadium bola sepak Maracana itu ditutup kepada orang ramai sebaik sahaja kebakaran berkenaan yang masih tidak diketahui punca tercetus.

Jurucakap jabatan bomba Rio berkata, api marak dengan begitu cepat berikutan premis terbabit menyimpan banyak bahan mudah terbakar.

“Ini ialah hari yang cukup tragik buat Brazil. Segala kerja penyelidikan dan keilmuan selama 200 tahun musnah begitu sahaja.

“Nilai kemusnahan ini tidak dapat dihitung dengan wang ringgit,” kata Presiden Michel Temer dalam satu kenyataan.

Antara koleksi disimpan di muzium itu termasuk karya seni dan artifak dari era Greco-Roman dan Mesir, selain turut menempatkan fosil manusia tertua yang ditemui di sempadan Brazil, dikenali sebagai ‘Luzia’.

Muzium sejarah semula jadi dan antropologi itu ditubuhkan pada 1818 oleh Raja Joao VI dan ia dianggap permata kebudayaan Brazil yang menempatkan lebih 20 juta artifak berharga. - AFP

Berita Harian X