Rabu, 29 Ogos 2018 | 10:02am
SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Jim Mattis. - Foto AFP
SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Jim Mattis. - Foto AFP

Pentagon-Seoul rancang semula latihan ketenteraan

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis berkata Pentagon tidak berhasrat menggantung latihan ketenteraan di Semenanjung Korea.

Kenyataan itu bagaimanapun bertentangan dengan Presiden Donald Trump yang menganggap perang permainan itu mahal dan berbentuk ‘provokasi’ dua bulan lalu ketika cuba meredakan ketegangan dengan Korea Utara.

Mattis menegaskan, langkah itu tidak memberi isyarat era pengenduran ketegangan antara pentadbiran Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, sudah berakhir.

Namun ulasan ketua Pentagon itu dibuat ketika hubungan semakin dingin, minggu lalu sahaja, AS membatalkan kunjungan oleh Setiausaha Negara Mike Pompeo ke Pyongyang manakala media Korea Utara menuduh negara itu ‘melakukan tindakan bertentangan’ serta ‘mencetuskan provokasi melampau dan pergerakan tentera berbahaya.’

“Kami mengambil langkah menggantung beberapa latihan terbesar sebagai langkah hubungan baik selepas sidang kemuncak Singapura.

“Kami tiada rancangan ketika ini untuk menggantung sebarang latihan ketenteraan,” kata Mattis kepada media di Pentagon semalam, merujuk keputusan Trump membatalkan latihan skala besar dengan Korea Selatan selepas bertemu Jong-un pada Jun lalu.

Sebarang penerusan latihan ketenteraan terbesar membabitkan AS dan Korea Selatan sudah pasti menaikkan kemarahan pihak berkuasa Pyongyang, yang kerap mengecam operasi itu.

Kenyataan berbalik itu menggambarkan kekeliruan dalam pentadbiran Trump mengenai bagaimana berurusan dengan Korea Utara.

Sebahagian kekeliruan itu, kata pihak berkuasa datangnya disebabkan timbalan atasan Trump terutama di Pentagon tidak dimasukkan secara tetap ke dalam rancangan Presiden untuk Korea Utara.

Misalnya, keputusan Trump pada Jun untuk menggantung latihan ketenteraan tahunan terbesar yang sekian lama dirancang dengan Korea Selatan, mengejutkan pegawai tentera kanan AS. - NYT

Berita Harian X