Khamis, 16 Ogos 2018 | 9:05pm
PEMANDANGAN dari udara sekitar bandar Makkah pada musim haji ini. - Foto BERNAMA
PEMANDANGAN dari udara sekitar bandar Makkah pada musim haji ini. - Foto BERNAMA

Jemaah haji Kanada, pelajar Arab Saudi, buntu

TORONTO/OTTAWA: Penduduk Islam Kanada yang menunaikan haji di Makkah berdepan kelewatan untuk pulang berikutan pertikaian diplomatik dengan Arab Saudi yang mungkin menyebabkan ribuan pelajar dari negara pentadbiran diraja itu bergegas menjual aset dan kembali ke tanah air.

Mereka perlu pulang bagi memenuhi tempoh sebulan yang ditetapkan Arab Saudi.

Ketika kebuntuan itu berterusan, Kanada berusaha mendapatkan bantuan daripada sekutunya termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk sokongan serta bercakap dengan Arab Saudi bagi menyelesaikan pertelingkahan itu.

Riyadh memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan secara mendadak awal bulan ini sebagai tindak balas terhadap tweet Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland yang menuntut pembebasan aktivis awam di negara pentadbiran diraja itu.

Riyadh juga menamatkan program pendidikan dan perubatan disokongnya di Kanada, menyebabkan pelajar Arab Saudi di sini bergegas pulang.

Di Halifax, Masjid Ummah menganjurkan jualan laman untuk membantu pelajar menjual perabot, barangan elektronik dan malah kereta.

“Sesetengah mereka hanya datang seminggu lalu dan bersedia untuk pulang. Ada juga pulang ke Arab Saudi untuk cuti musim panas dan datang semula untuk menjual barangan milik mereka,” kata imam masjid, Abdallah Yousri.

Sehingga akhir Jun lalu, ada lebih 5,100 pelajar Arab Saudi dengan permit pelajar sah di institusi pasca sekunder di Kanada.

Ramai Muslim Kanada sudah menempah penerbangan dengan Saudia, syarikat penerbangan rasmi Arab Saudi untuk menunaikan haji di Makkah, berlangsung dari 19 hingga 24 Ogos tahun ini.

Ketika penerbangan Saudia ke Makkah sebelum 13 Ogos tidak terjejas, penerbangan pulang menjadi kebimbangan ramai.

“Kami gementar sebagai satu keluarga kerana kami tidak mahu beliau terkandas di lapangan terbang,” kata Jawad Chaudhry, seorang broker hartanah di Hamilton mengenai ibunya yang menunaikan haji menaiki penerbangan Saudia.

Seorang jurucakap Menteri Luar memberitahu Reuters, Freeland sudah bercakap dengan pegawai EU, Jerman, Sweden dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usaha mendapatkan sokongan.

“Kami mengadakan dialog berterusan dengan Arab Saudi, kami tahu kami perlu mengekalkan dialog terbuka dengan mereka bagi menyelesaikan isu ini,” tambahnya.

Isu terbesar ialah masa depan hubungan luar dalam dunia di mana Kanada tidak lagi boleh bergantung kepada sokongan sekutu utamanya, kata Roland Paris, bekas penasihat hal ehwal luar kepada Perdana Menteri Liberal Justin Trudeau.

Jabatan Negara AS minggu lalu menggesa Kanada dan Arab Saudi menggunakan diplomasi untuk menyelesaikan pertelingkahan mereka yang tidak ditimbulkan ketika panggilan telefon antara Setiausaha Negara Mike Pompeo dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Isnin lalu. -Reuters

Berita Harian X